Saiful Apek Nasihat Pelawak Baru Sila Jaga Bahasa
Pelawak terkenal Saiful Apek atau nama sebenar Mohd Saifulazam Mohamed Yusoff 46, akui terdapat beberapa pelawak baru terutama generasi muda agak kurang menjaga adab bahasa ketika melawak di atas pentas.
Bagi dirinya membuat lawak untuk menyindir individu lain adalah amat tidak wajar untuk dijadikan contoh untuk anak-anak kecil.
“Sekarang ini, pelawak-pelawak baru muncul begitu ramai cuma saya kurang gemar dengan segelintir pelawak yang tidak menjaga nahu bahasa dan penggunaan ayat.
“Berlawak secara biadap dan mengutuk individu lain sebenarnya adalah tidak bagus, memang niat kita untuk menghiburkan orang namun maruah orang kita perlu jaga,” kata Saiful kepada portal Murai.com.my.
Saiful Apek yang ditemui wartawan di Majlis Sidang Media Melancong Bersama Selebriti Anjuran Persatuan Karyawan dengan kerjasama SJ Destinations turut menepis dakwaan yang mengatakan popularitinya kian menjunam.
“Saya bukan dah tak popular, saya masih lagi aktif dalam industri cuma banyak buat kerja di belakang tabir. Di peringkat umur sekarang untuk mengejar nama dan popular adalah tidak sesuai lagi, tapi tidak bermakna saya mengalah dengan pelawak baru,” seloroh Saiful sambil ketawa.
Dalam pada itu, dia juga pernah ditawarkan untuk menjadi peserta Maharaja Lawak Mega terbitan Astro tetapi dia menolak secara baik.
“Saya menolaknya kerana dulu saya pernah menjadi juri Raja Lawak, memberi komen kepada peserta, saya rasa amat tidak berbaloi kalau saya pula jadi peserta.
“Saya berpendapat sebegini tidak bermakna saya sombong atau berlagak, tetapi saya mempunyai alasan tersendiri untuk menjaga kualiti persembahan dan lain-lain,” katanya.
Selain aktif dalam bidang seni, Saiful Apek turut menjadi moderator memberi ceramah motivasi di sekolah-sekolah di seluruh negara.
“Alhamdulilah, ceramah saya itu lebih kepada kisah pengalaman saya serta kepentingan pelajaran dalam hidup, rata-rata pelajar yang dengar ‘talk’ saya itu gembira dan saya harap info yang saya kongsikan bermanfaat buat mereka.
0 Response to "Saiful Apek Nasihat Pelawak Baru Sila Jaga Bahasa"
Post a Comment