
Pelakon Fiza Elite, 35, berikrar tidak akan
kembali semula ke pangkuan bekas suaminya, Mohd. Aizam Mat Saman atau lebih
dikenali sebagai Adam AF, 33.
Menurut Fiza, dia sudah serik untuk rujuk
kembali dengan penyanyi kelahiran Akademi Fantasia itu setelah perkahwinan
mereka melalui episod perceraian sebanyak dua kali sebelum ini.
“Jangan kaitkan saya dengan Adam lagi selepas
ini. Cukuplah dua kali kami berkahwin, saya takkan kembali kepada dia lagi. Saya
serik!,” jelas pelakon tersebut kepada Utusan Malaysia.
Menurut Fiza, Adam telah menceraikannya buat
kali kedua pada 21 September lalu di rumah kelamin mereka di Gombak, Selangor.
Perceraian kali itu telah disahkan oleh Mahkamah Syariah Shah Alam pada 28
Disember lalu.
Pasangan berkenaan mendirikan rumah tangga pada
26 September 2013 dan bercerai kali pertama pada 28 April 2014 selepas hanya
tujuh bulan mendirikan rumah tangga. Namun, selepas hampir tiga bulan bercerai,
pasangan tersebut rujuk kembali pada 17 Julai 2014.
Menurut Fiza, rumah tangga mereka sebenarnya
tidak pernah aman dalam jangka masa yang agak lama di mana mereka hanya tinggal
sebumbung, tetapi berlainan bilik selama setahun.
“Sebenarnya, selepas kami rujuk semula pada
Julai 2014, hanya dua bulan sahaja kami bahagia. Tiga bulan kemudian, keadaan
kami kembali macam dulu juga, selalu bergaduh. Hidup terus bermasalah
terutamanya apabila bercakap dalam soal kewangan rumah tangga.
“Saya tidak tahan lagi hidup sebegitu dan
berpura-pura bahagia. Akhirnya saya buat keputusan yang kami tidak lagi boleh
hidup bersama pada hujung tahun 2015 yang lalu,” beritahu Fiza.
Menurut anggota kumpulan Elite itu, dia reda
dengan apa yang terjadi dan tidak akan sesekali berasa malu dengan status
terkini.
Selepas bergelar janda juga, Fiza nekad untuk
lebih aktif meneruskan aktiviti berlakon demi mencari sumber rezeki.
“Saya punya banyak tanggungjawab, termasuklah
kepada keluarga. Saya perlu terus bekerja bagi menampung keperluan hidup dan
keluarga. Saya harap kemunculan semula saya dalam dunia lakonan akan membawa
rezeki yang baik selepas tidak lagi berhadapan dengan masalah peribadi seperti
sebelum ini,” kata pelakon filem Anak Mami The Movie itu.
0 Response to "Cukuplah, Saya Dah Serik"
Post a Comment