
Seluruh kepemimpinan UMNO Kedah dan wakil
rakyat negeri ini hari ini menyuarakan pendirian hilang kepercayaan ter-hadap
Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Pengerusi Badan Perhubu-ngan UMNO negeri dan
Menteri Besar.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO
negeri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, beliau yang mewakili semua
pemimpin berkenaan merayu agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang
juga Presiden UMNO segera campur tangan dalam menyelesaikan kemelut
berkenaan.
Katanya, seluruh kepemimpinan negeri kini
hilang kepercayaan kepada Menteri Besar ekoran beberapa kelemahan serta
ketidakupayaan beliau memimpin parti dan mentadbir negeri ini.
“Antaranya, kegagalan beliau (Mukhriz) dalam
menyatupadukan pimpinan UMNO dan jentera parti di semua peringkat negeri. Kedua,
kita dapati tiada sebarang perancangan strategik parti bagi parti menghadapi
Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang semakin hari semakin dekat. Tidak ada
perancangan dari segi itu bagaimana hendak hadapi PRU.
“Ketiga, beliau juga gagal mengetuai dan
menggerakkan jentera parti selepas mengambil alih kepemimpinan parti di negeri
ini. Ini dirasai dan diluahkan di semua peringkat bahagian.
“Sebagai Menteri Besar beliau juga gagal
mengurus tadbir kerajaan negeri secara berkesan, itu turut memberi kesan kepada
parti. Kami merasakan banyak kelemahan di peringkat parti dan pentadbiran
kerajaan negeri,” katanya dalam satu sidang akhbar tergempar di sini hari
ini.
Sidang akhbar berkenaan yang diadakan kira-kira
pukul 3.30 petang itu dihadiri 14 daripada 15 pemimpin bahagian negeri ini.
Hadir sama, ketua sayap Pemuda, Puteri dan Wanita UMNO negeri serta Ahli
Parlimen UMNO negeri ini.
Turut serta dalam sidang akhbar yang
berlangsung 15 minit itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ahli
Parlimen Jerai, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Timbalan Menteri Pertahanan
selaku Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Mohd. Johari Baharom dan Ahli Parlimen
Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.
Mengulas lanjut kata Ahmad Bashah, UMNO Kedah
merayu keprihatinan Perdana Menteri untuk membuat perubahan segera ke atas
pimpinan tertinggi parti negeri dan Menteri Besar.
“Sebab itu, kami berhimpun untuk merayu dan
membuat permohonan kepada Perdana Menteri untuk menukar Menteri Besar Kedah dan
Pengerusi Perhubungan Negeri Kedah.
“Itu harapan kami dan keputusan ini dicapai
secara bersama oleh semua kepimpinan parti ne-geri. Inilah suara kami dan rayu
keprihatinan Perdana Menteri untuk buat segera keputusan demi masa depan rakyat
dan parti untuk hadapi pilihan raya. Kami memohon agar Perdana Menteri lakukan
sesuatu yang terbaik untuk negeri kita.
“Kami menyerah kepada budi bicara Perdana
Menteri dan menyokong apa juga yang dilakukan oleh beliau," katanya.
Tambah beliau, tindakan segera itu perlu
diambil demi menjaga parti dan rakyat negeri ini.
Sementara itu Menteri Pendidikan yang juga Ahli
Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid dalam satu kenyataan berkata,
keputusan secara bersama oleh semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli
Parlimen UMNO Kedah tersebut dilakukan tanpa sebarang agenda peribadi.
“Kita berharap Perdana Menteri segera
menyelesaikan kemelut parti ini dan apa yang dilakukan semata-mata demi
kelangsungan UMNO Kedah dan rakyat," katanya yang kini berada di London kerana
urusan kerja.
0 Response to "Mukhriz Tidak Mendapat Kepercayaan Lagi"
Post a Comment