
Bintang bertopeng sensasi WWE, Kalisto membuat
kejutan apabila berjaya merampas Kejuaraan Amerika Syarikat WWE di acara Raw
semalam.
Kalisto yang merupakan bekas Juara Beregu NXT
diberi peluang untuk merebut kejuaraan tersebut daripada penyandang sebelumnya,
Alberto Del Rio setelah berjaya menumpaskan bintang Mexico tersebut di acara
Smackdown minggu lalu. Del Rio yang beranggapan bahawa kemenangan tersebut
hanyalah bernasib baik, sekali lagi mencabar Kalisto di acara Raw dan
mempertaruhkan Kejuaraan Amerika Syarikat yang sedang disandangnya.
Namun selaku bekas juara dunia beberapa kali,
Del Rio bukanlah sang juara yang mudah untuk ditumbangkan. Sepanjang 10 minit di
awal perlawanan, Del Rio dilihat menguasai perlawanan dan banyak aksi-aksi
melayang di udara yang dipersembahkan Kalisto berjaya dikesampingkan Del
Rio.
Begitu juga dengan Kalisto. Walaupun pelbagai
gerakan telah dijamu kepadanya, semangat tidak mudah menyerah kalah masih
menebal di dalam jiwa bintang bertopeng Mexico ini.
Del Rio ternyata kecewa kerana gagal
menumpaskan Kalisto. Dan gerakan pacakan kaki di penjuru gelanggang ke atas
badan Kalisto menjadi titik tolak berakhirnya penguasaan beliau.
Kalisto berjaya mengelak tendangan pacak
tersebut, dan dengan satu gerakan bergulung, Kalisto sekaligus melakukan
tindanan pin dengan memegang kedua belah kaki Del Rio dengan kemas, dan pengadil
menyudahkan kiraan satu, dua dan tiga, seterusnya memahkotakan Kalisto selaku
juara Amerika Syarikat yang baharu.
Bintang generasi baharu berusia 29 tahun ini
mengingatkan kita kembali kepada seorang lagi bintang bertopeng yang pernah
mengungguli pentas WWE sebelum ini iaitu Rey Mysterio. Dengan gaya gusti lincah
dan layangan badan anti graviti, Kalisto dilihat mampu untuk mengulangi sejarah
kejayaan Rey Mysterio di WWE beberapa tahun dahulu. Walaupun bertubuh kecil,
namun mereka berjaya mendepani penggusti yang bersaiz lebih besar, berbekalkan
semangat juang yang tinggi.
Dalam perkembangan lain, diva WWE, Sasha Banks
dan Paige terpaksa direhatkan susulan mengalami kecederaan dan perlu menjalani
sesi pemulihan. Sasha Banks yang merupakan bekas Juara Wanita NXT dilaporkan
mengalami kekoyakan tisu ligamen di bahagian lutut, manakala bekas Juara Wanita
NXT dan Juara Diva WWE Paige pula diberitakan mengalami sedikit konkusi dan
perlu menjalani beberapa pemeriksaan lanjut sebelum dibenarkan untuk beraksi
semula.
Pastinya ketiadaan diva-diva hangat ini sedikit
sebanyak bakal mengurangkan seri di WWE selepas ini. Ditambah pula dengan kempen
perjalanan ke Wrestlemania yang bakal bermula beberapa minggu lagi, sudah tentu
WWE perlu memikirkan beberapa langkah drastik untuk mengisi kelompongan yang
ditinggalkan.
0 Response to "Kalisto Juara, Diva Berehat"
Post a Comment