Anjur Program Untuk Mat Motor Berlumba Secara 'Halal' Dapat Sambutan Hangat



PUTRAJAYA - Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, kerajaan akan berbincang dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur, UMNO dan Barisan Nasional untuk mewujudkan program khas untuk membolehkan mat motor berlumba secara sah di jalan raya di ibu kota.

Menurut Ahli Parlimen Putrajaya yang lebih dikenali dengan nama Ku Nan itu berkata, ia sebagai satu usaha bagi mendekati kumpulan itu dan mengelakkan mereka dari terus terjebak dalam gejala lumba haram serta masalah sosial.

"Mungkin kita boleh ambil sehari dua dalam seminggu dan buat seperti program KL Bebas Kereta. Tetapi program yang ini khas untuk motosikal sahaja di mana mereka boleh berlumpa pada waktu siang atau malam.

"Kita akan menutup jalan-jalan yang terpilih di sekitar ibu kota untuk dijadikan litar berlumba semenara pihak berkuasa akan kawal dan siapkan ciri-ciri keselamatan seperti penghadang dan sebagainya," katanya.

"Kerajaan faham bahawa ini mungkin satu-satunya hiburan untuk mereka kerana kebiasaannya mat motor ini kalau yang bekerja sebagai penjawat awam, jawatannya hanyalah pembantu rendah sahaja. Manakala yang bekerja di sektor swasta paling tinggi pun kerani. Jadi mungkin mereka menghadapi kekangan kewangan untuk medium hiburan yang lain.

"Dalam masa yang sama kita mungkin boleh menganjurkan program untuk mereka membuka dan memasang semula bahagian enjin dan badan motosikal atau mengubahsuainya. Kita boleh beri bahagian dan alat ganti yang baru untuk mereka.

"Daripada situ juga, mereka boleh melatih kemahiran menjadi mekanik. Seterusnya membuka bengkel dan menaikkan taraf hidup mereka," katanya.

Terdahulu seorang ahli pemuda UMNO mencadangkan kerajaan membenarkan penggunaan ganja bagi rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Sumber

0 Response to "Anjur Program Untuk Mat Motor Berlumba Secara 'Halal' Dapat Sambutan Hangat"

Post a Comment