MELAKA – Kanak-kanak perempuan yang mengalami
masalah jantung berlubang, Farisya Dini Juhari, 4, akan menjalani pembedahan di
Institut Jantung Negara (IJN) pagi ini.
Bapanya, Juhari Ahmad Salleh, 41, dari Lorong Balai
Panjang 7 di sini berkata, anaknya Farisya sudah dimasukkan ke bilik bedah sejak
jam 7. 30 pagi tadi dan dijangka menjalani pembedahan itu pada jam 8.30
pagi.
Menurutnya, doktor yang terbabit memberitahu proses
pembedahan dijangka mengambil masa antara empat hingga ke lima jam dan beliau
berharap seluruh masyarakat mendoakan supaya pembedahan tersebut
dipermudahkan.
Sementara itu, menurut Juhari lagi, wang sumbangan
yang masuk ke akaun nya pagi ini mencatatkan penambahan sebanyak RM2,700
menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan masyarakat setakat ini kepada
RM31,000.
“Hanya empat ribu lagi diperlukan bagi
membiayai kos pembedahan tersebut yang jumlah keseluruhannya
RM35,000,” katanya ketika dihubungi pagi ini.
Sinar Harian sejak 20 Oktober lalu,
memaparkan kisah kanak-kanak terbabit, Farisya Dini yang mengalami masalah
kebocoran injap jantung serius serta beberapa komplikasi lain sehingga memaksa
pembedahan dijalankan segera.
Menurut bapanya, penyakit itu mula dikesan ketika
usianya lima bulan dan setelah itu dia terus menjalani rawatan susulan di
Hospital Melaka setiap enam bulan sekali dan di IJN setiap setahun
sekali.
Bapanya hanya menjalankan perniagaan secara
kecil-kecilan dan pendapatan tidak tetap dan untuk menyediakan kos sebanyak itu
beliau tidak mampu.
Jumlah RM35,000 yang diperlukan itu belum termasuk
kos perbelanjaan lain seperti penginapan serta rawatan susulan.
Setakat ini bapanya sudah berusaha untuk
mendapatkan dana tersebut termasuk menemui orang perseorangan serta memohon
bantuan menerusi Tabung Bantuan Perubatan, Kementerian Kesihatan
Malaysia.
Orang ramai boleh terus menyalurkan bantuan
menerusi akaun bank bapanya, Juhari Ahmad Salleh, 04080061336526 (CIMB).
– Sinar Harian Online
0 Response to ""BANTULAH ANAK SAYA, TAK CUKUP RM4,000 LAGI BIAYA KOS PEMBEDAHAN""
Post a Comment