Sebaik sahaja kerajaan mengumumkan kenaikan harga
tol yang bakal berkuatkuasa pada 15 Oktober 2015, berbagai-bagai persepsi dan
tohmahan negatif yang diterima.
Mereka kata minyak naik, tol pun nak naik dan
paling tidak enak, pertanyaan ‘pedih’ tak cukup lagikah wang GST?
Sementelah ada yang mengutuk keras pengundi
kerajaan Barisan Nasional dengan menyelar mereka bodoh kerana mengundi
kerajaan.
Soalnya, adakah sekiranya parti Pakatan Rakyat atau
pihak pembangkang menjadi kerajaan boleh menjamin mereka tidak akan menaikkan
harga tol, minyak dan mengenakan cukai GST?
Tidak terfikirkah kita berkemungkinan berada di
bawah kerajaan yang dinaungi parti pembangkang keadaan menjadi lebih teruk lagi,
apatah lagi dengan ketiadaan pengalaman mengemudikan negara?
Masyarakat perlu memahami konsep perjanjian konsesi
lebuh raya di Malaysia. Hakikatnya, lebuh raya di Malaysia adalah nadi yang
menghubungkan kehidupan.
Malah terdapat 31 lebuh raya dibina sehingga kini
sejak negara mengecapi kemerdekaan. Sebagaimana yang kita maklum bahawa hampir
90 peratus lebuh raya di Malaysia dimiliki oleh syarikat swasta dan
GLC.
Kerajaan telah menganugerahkan konsesi dengan hak
eksklusif kepada mereka untuk membina, mengendali dan menyelenggara lebuh raya
bagi tempoh konsesi yang dipersetujui.
Ini adalah salah satu bentuk Public-Private
Partnership yang dipelopori oleh pihak kerajaan sejak zaman pemerintahan Tun Dr
Mahathir Mohamad lagi.
Perkara ini dilakukan kerana terdapat kekangan
dalam isu perbendaharaan negara apalagi pembinaan infrastruktur menelan
perbelanjaan yang besar.
Memandangkan kerajaan mempunyai tanggungjawab
membiayai dan membina kemudahan insfrastruktur maka ia perlu melantik pihak
swasta melaksanakan pembinaan jalan raya atau lebuh raya dengan terma syarat
konsesi yang dipersetujui.
Malaysia, seperti kebanyakan negara lain di dunia
perlu mengimbangi perbelanjaan perbendaharaan negara mengikut keperluan seperti
pembangunan infrastruktur dengan keperluan asas lain seperti subsidi kesihatan
dan pendidikan.
Walaupun pembangunan infrastruktur mempunyai kesan
positif ke atas ekonomi negara, adalah tidak efisien bagi kerajaan untuk memberi
peruntukan yang besar daripada perbendaharaan negara ke arah penyediaan
infrastruktur.
Namun begitu, dana pembangunan projek-projek
infrastruktur yang menelan belanja bilion ringgit ini boleh disediakan oleh
pihak kerajaan dengan kutipan cukai pada kadar yang lebih tinggi.
Tetapi, ia bukanlah sesuatu perkara yang mudah
untuk dilakukan oleh kerajaan kerana sudah pasti kenaikan cukai ini akan
mendapat tentangan dari rakyat.
Jadi, majoriti negara di dunia ini telah menyedari
bahawa pihak kerajaan secara sendirian tidak akan dapat menyediakan peruntukan
yang besar bagi menampung kos projek pembinaan infrastruktur.
Atas dasar itu, kerajaan membuat tawaran kepada
sektor swasta untuk membina lebuh raya di Malaysia.
Masalah yang dihadapi oleh sektor awam dan
kelebihan yang dimiliki oleh sektor swasta boleh diselesaikan dengan mematerai
sebuah perjanjian kerjasama bagi membolehkan sektor swasta dengan segala sumber
yang dimilikinya menceburi industri penyediaan infrastruktur di
Malaysia.
Pengguna jalan raya di Malaysia merungut apabila
menghadapi kesesakan terutamanya pada waktu puncak tetapi apabila tindakan
pembaikan dan naik taraf jalan dilakukan untuk mengatasi masalah kesesakan
dilakukan, mereka bukan sahaja masih merungut tetapi menuduh kerajaan yang
bukan-bukan tanpa memikirkan ia dikendalikan pihak swasta dengan kos yang
tinggi.
Dalam usaha menyediakan kemudahan lebuh raya
khususnya di kawasan bandar dalam mengelak kesesakan lalu lintas akibat
pertambahan bilangan kenderaan yang menggunakan lebuh raya, pelbagai usaha
menaik taraf dilakukan dan ia sudah pasti mengeluarkan kos tinggi.
Kutipan tol sedia ada hanya untuk menampung kos
pembinaan lebuh raya tidak mencukupi untuk urusan naik taraf serta
pengubahsuaian jalan bagi mengatasi kesesakan jalan raya.
Justeru, keselesaan menggunakan lebuh raya dengan
kenaikan tol yang sedikit adalah ‘situasi menang-menang’ yang hakikatnya
sentiasa kelihatan sukar diterima kenyataannya oleh masyarakat. - Huda Ellya
0 Response to "KENAIKAN HARGA TOL ADALAH 'SITUASI MENANG-MENANG' BUAT RAKYAT"
Post a Comment