'TERGAMAK CIKGU PUKUL ANAK SAYA BEGINI?!'


CHINA - Tindakan seorang guru yang merotan seorang murid gred empat dengan penyapu hanya kerana gagal menyiapkan kerja sekolah yang diberikan mengundang kemarahan netizen.

Dalam insiden yang berlaku pada September lalu, Hu, bapa kepada murid berkenaan berkata kepada media mengenai penderaan itu. Katanya, 29 September lalu, ketika berada di rumah dia menyedari anak lelakinya tidak dapat duduk di sofa.

"Saya buka seluar dia, lantas dia terus menjerit. Ia sangat menakutkan. Kulitnya lebam dan hitam serta seluarnya dipenuhi darah," katanya.

Hu segera mengejarkan anaknya ke hospital dan menerima rawatan selama tiga hari. 

Mengimbas kembali hukuman yang diterima, mangsa berkata, "Saya tidak menyiapkan tugasan yang diberikan dengan baik, jadi guru itu mengarahkan saya datang ke pejabatnya dan memaksa saya mencangkung. Saya terpaksa melakukannya sebanyak 400 kali, jika tidak dia akan merotan saya," katanya.

Sepanjang hukuman itu, mangsa dirotan dengan penyapu sehingga dua batang penyapu yang digunakan olehnya patah.

Mangsa menjelaskan, ini bukan pertama kali yang dia telah dirotan seperti itu oleh guru berkenaan.

Setelah bapa mangsa mengadu perkara itu kepada pihak sekolah, guru terbabit, Li, mengaku telah merotan mangsa dan memohon maaf serta mahu membayar kos perubatan yang ditanggung oleh keluarga Hu. Li yang juga telah digantung tugas semenjak insiden itu juga menawarkan wang pampasan berjumlah 10,000 yuan (US$1,547).



Walau bagaimanapun, keluarga mangsa telah menuntut sebanyak 30,000 yuan. Dalam laporan TV baru-baru ini, Hu menunjukkan gambar kecederaan anaknya itu telah meruntunkan hatinya.

"Tergamak dia melakukan anak saya seperti ini? Saya sendiri tidak tergamak berbuat seperti ini pada anak sendiri. Saya tidak sanggup!" katanya.

Kejadian itu telah mencetuskan perbualan yang hangat di media sosial sehingga ada segelintir netizen yang mengimbas kembali hukuman perit yang mereka terpaksa lalui ketika di zaman persekolahan. Dalam masa yang sama mereka menuntut pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap guru terbabit. - THEHYPEMEDIA.COM

Related Posts :

0 Response to "'TERGAMAK CIKGU PUKUL ANAK SAYA BEGINI?!'"

Post a Comment