Aku baru bercerai talak satu seminggu yang lalu
ketika aku berusia 22 tahun. Puncanya, sebab bekas suami aku berlaku curang.
Tetapi aku tak salahkan dia kerana dia tertekan melihat aku yang pemalas dan
tidak jalankan tanggungjawab.
Benar, bila sudah bercerai ini, aku muhasabah
diri. Siapa yang boleh tahan dengan isteri seperti aku?
Bayangkan masa anak dara, bangun tidur pun
lambat, tak reti memasak, buang masa tengok drama Korea Selatan, layan handphone
24 jam, kemas rumah pun jarang, kerja asyik nak melepak saja.
Semasa bercinta memang seronok dan 'sweet'.
Jumpa, dating, berbalas sms di telefon bimbit. Tetapi apa yang kita nampak itu
semua adalah lakonan sahaja. Bila sudah kahwin, episod yang bermula adalah
tanggungjawab.
Masa mula-mula kahwin, boleh dikatakan aku
hipokrit. Rajin untuk 2 3 hari sahaja sebab menjadi pemalas ini sudah menjadi
satu kebiasaan kan. Jadi, lama kelamaan tabiat lama itu terserlah selepas
berkahwin. Mungkin disebabkan itu suami akan menjadi tertekan.
"Baik bela biawak dari dapat isteri pemalas
macam awak ni!"
Dari situlah bermulanya episod dia mencari
perempuan lain. Katanya lebih matang dan bertanggungjawab.
Dulu, aku teringin sangat nak kahwin sebab masa
bercinta semuanya 'sweet'. Ingat nak kahwin untuk halalkan perhubungan. Benar
kata tulisan Adnin Rosli dalam Tarbiah Sentap. Niat kahwin kalau setakat nak
halalkan hubungan sahaja tidak cukup. Perkara pertama adalah mesti kerana Allah
dan harus tahu bahawa kahwin itu adalah amanah.
Pesan aku kepada wanita-wanita di luar sana
yang pemalas seperti aku, berubalah. Sifat malas ini bukan boleh berubah sekelip
mata, didiklah diri mulai dari sekarang agar sifat malas itu dapat dibuang.
Jadilah wanita yang serba boleh, bukannya hidup bermalas-malasan selepas itu
bercinta tanpa memikirkan tanggungjawab dalam hidup di masa akan datang.
Bila fikir balik kenapa dia ceraikan aku dulu,
sebab perkara-perkara seperti inilah. Padahal usia perkahwinan kami baru saja
masuk setahun tetapi dah tak tahan. Kasihan mak ayah aku selama ini membela aku
sehingga menjadi pemalas.
"Mak, Ayah,
maafkan Ina. Selepas ini saya akan cuba menjadi anak yang lebih
bertanggungjawab,"
Doakan aku kuat.
Aku sayangkan bekas suami tetapi dia sudah ada
perempuan lain. Doakan aku jumpa orang yang baik. Aku nak berubah tetapi aku nak
berubah untuk mak, ayah dan Allah dulu. Kahwin? Nanti-nantilah fikir soal
kahwin. Aku nak kutip ilmu supaya bila dah kahwin nanti, ada ilmu nak mendidik
anak agar tidak menjadi seperti aku.
Buat lelaki, berkahwinlah dengan gadis pilihan
anda bukan kerana kecantikan sahaja. Cantik itu tiada gunanya jika tidak pandai
menggalas tanggungjawab sebagai seorang isteri. Sebab itu orang zaman dulu kalau
kahwin, dari A-Z mereka siasat pasangan itu dari jiran sebelah, kawan-kawan,
saudara mara. Bukan main sapu je nak kahwin.
Semoga perkahwinan adalah satu ibadah, bukan
kerana nafsu. Kita mahu melahirkan generasi yang hebat. Kalau tiada ilmu kahwin,
maka keluarlah generasi-generasi baru yang sampah seperti aku.
-THEHYPEMEDIA.COM
0 Response to "'Baik Bela Biawak Dari Dapat Isteri Pemalas Macam Awak!'"
Post a Comment