Isteri Polis Ditelanjang Sebelum Dikelar



KUALA KRAI 1 Mac - Seorang wanita dibunuh de­ngan kejam apabila lehernya dikelar dan dikatakan ‘ditelanjangkan’ sebelum dia ditemukan dalam keadaan nyawa-nyawa ikan oleh suaminya kira-kira 100 meter dari rumah mereka di Kampung Batu Papan, Gua Musang dekat sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.40 pagi itu, mangsa, Yashmin Fauzi, 26, ditemukan oleh suaminya, Mohd. Azrul Isahak, 30, yang juga sukarelawan polis dalam keadaan berbalut kain selimut tanpa pakaian di tepi jalan ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumah mereka.

Kejadian tragis itu juga disaksikan oleh tiga anak lelaki mangsa yang berusia lima bulan, lima tahun dan enam tahun.

Tidak sampai 12 jam selepas kejadian itu, pihak polis menahan dua suspek yang berusia 22 dan 19 tahun serta merampas sebilah parang yang dikatakan digunakan untuk mengelar mangsa.

Suspek pertama yang dikatakan dikenali mangsa ditahan di rumahnya di Kampung Tanah Putih dekat sini pada pukul 2 petang serta mempunyai rekod jenayah seperti mencuri serta terlibat de­ngan dadah.

Dua jam selepas itu, rakannya yang berusia 19 tahun ditangkap di celah-celah khemah sementara mangsa banjir di Bandar Baru Gua Musang.

Pemuda berkenaan tidak tinggal di penempatan sementara itu.
Ketua Polis negeri, Datuk Maz­lan Lazim berkata, suspek pertama dipercayai mengenali mangsa dan biasa dengan keadaan rumah tersebut.

“Suspek dikatakan menyamun wang mangsa sebanyak RM250 tetapi siasatan kita bukan sekadar itu sahaja, kita juga sedang siasat sama ada mangsa dirogol atau tidak, keputusannya berdasarkan bedah siasat yang dijalankan.

“Ketika kejadian suami mangsa yang juga seorang sukarelawan polis bertugas dari pukul 12 tengah malam sehingga 5 pagi, dia berasa tidak sedap hati dan pulang ke rumah pada pukul 2.40 pagi dan mendapati isterinya terbaring di tepi jalan sedang meminta tolong.

“Cara mangsa dikelar begitu dahsyat,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Bantuan Banjir di Sungai Durian, di sini, petang ini.

Bagaimanapun Utusan Malaysia difahamkan siasatan awal polis mendapati suspek kedua tidak terlibat dalam kejadian tersebut dan namanya sengaja disebut serta dikaitkan oleh suspek pertama.

Mazlan berkata, Yashmin me­ninggal dunia pada pukul 6.40 pagi ketika dalam perjalanan menuju ke Hospital Kuala Krai untuk me­nerima rawatan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan kita percaya kes ini dapat diselesaikan dengan tangkapan yang dibuat ini,” katanya.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Papan, Gua Musang dekat sini malam ini.

sumber: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/isteri-polis-dikelar-1.65286#sthash.brdloNEb.dpuf

0 Response to "Isteri Polis Ditelanjang Sebelum Dikelar"

Post a Comment