
Beijing: Usaha sebuah bandar di China memasuki
Rekod Dunia Guinness dengan menghidangkan sajian nasi goreng terbesar di dunia
menemui kegagalan apabila melanggar syarat ditetapkan dengan membazirkan 150
kilogram makanan itu.
Guinness berkata di microblognya di China
bahawa Yangzhou melanggar syarat ditetapkan supaya makanan itu boleh dimakan dan
tidak dibazirkan. Sehubungan itu, rekod dimenangi ditarik balik.
Katanya, penganjur berjanji supaya empat tan
metrik nasi goreng diedarkan ke lima tempat, sebaliknya sebahagian daripada
jumlah itu ‘tidak dikendalikan dengan betul’ menyebabkannya basi.
Biro pelancongan Yangzhou dipetik media
tempatan sebagai berkata, nasi berkenaan dihantar ke sebuah ladang dan diberi
kepada babi untuk dimakan.
Nasi goreng Yangzhou terkenal di China dan
seluruh dunia kerana menggunakan pelbagai bahan termasuk lobak merah dan kacang
pea secara kreatif.
Media tempatan melaporkan, dalam acara Khamis
minggu lalu itu 300 tukang masak yang menggoreng hidangan itu dalam kuali
berasingan sebelum dimasukkan dalam mangkuk bersaiz gergasi untuk dipamerkan dan
berjaya meraih anugerah terbabit.
Malangnya, gambar disiarkan di Internet
beberapa hari kemudian menunjukkan nasi berkenaan yang sepatutnya itu diedarkan
ke sekolah-sekolah yang mengambil bahagian dibawa lori sampah, malah seorang
jurucakap dilaporkan berkata: “Nasi ini tidak boleh dimakan manusia, tetapi
boleh diberi kepada babi.”
Menurut laman web Guinness, rekod bagi nasi
goreng masih dipegang Turkey Culinary Federation apabila menghidangkan 3,150
kilogram pada 27 September tahun lalu.
0 Response to "Nasi Basi, Usaha Sia-Sia"
Post a Comment