LULUH hati
penulis bila membaca kisah keluarga yang sangat susah untuk mencari sesuap nasi
untuk meneruskan hidup seharian. Disini ada satu kisah benar yang harus
ditempuhi sebuah keluarga yang sangat-sangat daif dan susah untuk membesarkan
seorang anak yang masih kecil.
Perjalanan yang masih jauh
perlu dirempuhi oleh keluarga ini, adakah setiap hari harus mengulangi perbuatan
meninggalkan bayi kecil di dahan untuk mencari rezeki.

AL-KISAH KISAH IBU TIDURKAN ANAK DIDAHAN POKOK SEBELUM MENOREH SETIAP 5.00 PAGI
Beginilah rutinku dan
suami setiap hari. Seusai solat subuh, tatkala jalan masih gelap, tanggungjawab
demi masa depan anak perlu dilunaskan. Aku mahu dia pandai supaya kepayahan kami
alami sekarang tidak berpanjangan.
Sebaik anak sulung
melangkah kaki ke sekolah, aku dan suami serta anak bongsu bergegas ke kebun
getah. Walaupun kami bukan tuannya, tetapi pokok inilah yang menyara hidup kami
empat beranak. Ku cari dahan yang selalu ku gantung buai anakku. Aku tiada
pilihan. Jikaku mampu anak ini pasti tidak perlu berada di sini. Dia boleh saja
berada di rumah pengasuh. Tapi apakan daya. Pendapatanku dan suami hanya RM40
sebulan. Aku dan suami mengambil upah menoreh pokok orang lain. Mana mampu nak
gajikan pengasuh.
Jika disoal kepada sampai
bila anak kecil ini perlu ‘diasuh’ di dalam kebun getah, ku tiada jawapannya.
Jika kesudahan nasibku tiada nokhtah aku reda, mungkin ini takdir dari yang maha
Esa. Selalunya, sebelum menoreh getah yang menyara hidup kami anak beranak, Aku
akan menyuap anak kecil berusia dua tahun ini dengan nasi lemak yang dibeli
suami. Bila kekenyangan, baru ditidurkan di dalam buaian yang diikat suami di
pohon getah.
ANAK DISERANG KALA
JENGKING & BERUK
Tangan yang menghayun
buaian ini ku iringi selawat ke atas Baginda Nabi Muhammad SAW, mudah-mudahan
dengan berkat selawat ke atas Baginda, anakku tidak lupa kami bila dia berjaya
kelak. Bila memandang wajahnya, hati tiba-tiba sayu, ku terkenang beberapa
pengalaman yang pernah menimpanya. Beberapa ekor beruk buas pernah
mengganggunya, mujur ku sempat melempar sesuatu kepada haiwan itu dari bertindak
di luar jangkaan. Kakaknya pula biasa disengat kala jengking di kebun ini,
ketika itu hanya ALLAH yang tahu bagaimana perasaan seorang ibu. Alhamdulillah,
dia selamat dari bahaya selepas dirawat di klinik kerajaan.
Jika cuti sekolah setiap
minggu, mahu atau tidak, anak sulung turut dibawa ke kebun getah ini seharian.
Lamunan terhadap kenangan lalu terhenti, sehelai daun pokok getah yang melayang
jatuh di hadapan wajahku buatkan ku tersedar. Pokok getah, bisik hati kecil
hatiku, harap-harap hari ini susu dapat keluar banyak. Selepas anak bongsu ini
lelap, ku capai pisau di dalam raga motosikal, perlahan-lahan meninggalkan anak
kecil yang lena di dalam buaian. Aku dekati suami yang selesai menoreh 15 batang
pokok, dia menunjukkan isyarat tangan kepada ku ke arah pokok yang belum
ditoreh. Dengan kudrat yang ada, aku turuti arahan suami, kami bersama-sama
menoreh di dalam kedinginan Subuh.
‘JARI INI TIDAK PERNAH
DISARUNGKAN CINCIN MAHAL’
Mungkin bagi mereka yang
tidak pernah menoreh, pekerjaan ini seboleh-bolehnya ingin dijauhi, tiada yang
sanggup bermain dengan bau busuk dan lekit getah kecuali mereka yang hidupnya
memang dihimpit kesusahan. Namun, aku bersyukur, sehingga hari ini,
setidak-tidaknya kami anak beranak tidak perlu mengemis di tepian jalan seperti
insan senasib kami. Dengan hasil susu getah ini, suami akan bahagiakan kami anak
beranak. Biarpun selama hidup bersamanya jariku ini tidak pernah disarungkan
cincin mahal, tidak pernah dipakaikan seutas rantai berharga, tetapi hati ini
tenang hidup di sampingnya.
Selalunya, makanan yang
dimasak di rumahku hanya nasi kosong, ikan masin dan air garam. Alhamdulillah,
biarpun itu yang selalu kami jamah hampir setiap hari, tetapi jika reda dan
bersyukur dengan rezeki yang ada, pasti ALLAH akan limpahkan rasa cukup dengan
apa yang diberikan oleh-Nya. Bagaimanapun, ku akui, disebabkan kemiskinan ini
anak-anak juga terpaksa menempuh dan menanggung derita.
ANAK CIRIT BIRIT MINUM AIR
TEH/KOPI DISANGKA ‘SUSU’
Jika ikan masin, beras
atau sekurang-kurangnya telur dan ikan sardin mampu dibeli, tetapi susu tepung
untuk anak kami berusia dua tahun itu tidak mampu dibeli. Jika dibeli sekalipun,
mungkin sekali dalam setahun. Pernah anak merengek kerana lapar mahukan susu,
dalam poket suami tika itu hanya ada RM5, berbanding harga satu tin susu tepung
mencecah puluhan ringgit benar-benar buatkan kami tidak mampu. Dalam tangisan
itu, akhirnya dia diam apabila diberikan minuman disangkanya susu. Bersama mata
yang digenangi air, ku bancuhkan kepada anakku itu teh atau kopi menggantikan
susu. Sungguh! Jika harga getah tidak serendah sekarang, mungkin susu tepung
masih mampu dibelikan suami. Seperti kebiasaannya, anakku akan mengalami ciri
birit selepas meminum ‘susu’ yang dimintanya, bersandarkan tawakal kepada ilahi,
ku akur dengan perjalanan hidup ini.
SUAMI TERPAKSA TEBALKAN
MUKA BERHUTANG DI KEDAI
Anak sulung juga terpaksa
menerima hakikat betapa dia hidup bersama ayah dan ibunya yang tidak kaya
seperti keluarga lain, tatkala musim hujan, aku dan suami tidak mampu
membekalkannya duit kerana pendapatan kami merosot. Pokok tidak dapat ditoreh,
bagaimana dapatkan hasil? Bukan sekadar duit berbelanja di sekolah tidak mampu
diberi, malah wang mengisi minyak motosikal terpaksa difikir berkali-kali
sebelum diisi. Seperti bulan November baru-baru ini, dalam sebulan hanya tiga
kali pokok dapat ditoreh, mujur anak sulung kami menerima bantuan makanan dari
sekolah. Adakalanya suamiku sendiri terpaksa menebalkan muka berhutang di kedai.
Ku punya jalan hidup berbeza, anak sulung kami berusia 11 tahun ini sebenarnya
anak kepada suami pertama, selepas diceraikan, hadir seorang lelaki yang sanggup
menerima dan membela kami.
Sebagai isteri, aku hanya
mampu berdoa agar suamiku dilindungi ALLAH. Ku titipkan kalimah rahsia kepada
ALLAH agar diberikan suamiku ini sebuah syurga kepadanya.
P/S : Kepada yang mampu
Hulurkan bantuan yang seadanya pada saudara kita yang berada dalam kesusahan
ni.
Kredit : Zurina Jusoh,
32,
Kampung Seri Dacing, Sik, Kedah.
Kampung Seri Dacing, Sik, Kedah.
0 Response to "KISAH IBU TIDURKAN ANAK DIDAHAN POKOK SEBELUM MENOREH SETIAP 5 PAGI"
Post a Comment