Kemelut politik yang melanda Kedah ketika ini
membuatkan syarikat kosmetik D'Herbs terpaksa berfikir dua kali sebelum
mengambil keputusan untuk menaja pasukan bola sepak Helang Merah dalam
menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M), musim ini.
Pengasas syarikat kosmetik terbabit, Datuk
Aliff Syukri Kamarzaman, berkata beliau sedikit 'tergugat' dengan perkembangan
politik yang sedang berlaku di negeri itu. Beliau mengakui bimbang jika segala
tawaran yang dijanjikan oleh Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) kepadanya sebelum
ini tidak dapat dilunaskan selepas bersetuju untuk memberikan penajaan kepada
skuad Tan Cheng Hoe.
"Sebelum ini, saya bertemu secara peribadi
dengan Presiden KFA, yang juga Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir, berhubung
tawaran yang bakal diberikan kepada saya jika saya bersetuju menaja pasukan
Kedah.
"Jadi, saya risau jika berlakunya sebarang
pertukaran dalam pentadbiran dan organisasi persatuan bola sepak negeri itu.
Saya bimbang mereka tidak dapat menawarkan perkara yang sama kepada saya selepas
persetujuan untuk penajaan sudah dicapai.
"Apapun, saya tidak mahu mengulas panjang
berhubung isu ini kerana ia membabitkan politik dan saya hanya menunggu
kesudahan kemelut terbabit," katanya ketika dihubungi BH Sukan, semalam.
Katanya, beliau akan membuat keputusan selanjutnya selepas kedudukan Mukhriz
selaku Presiden KFA diputuskan dan akan mempertimbangkan semula keputusan sama
ada mahu menaja pasukan Kedah atau tidak selepas itu.
Sebelum ini, Aliff dilihat berminat dengan
pasukan Kedah berikutan tertarik dengan tawaran 'Terlajak Hebat' yang diberikan
Mukhriz jika beliau bersetuju untuk menjadi penaja utama pasukan terbabit.
Malah, faktor kekuatan penyokong Kedah yang sering memenuhi Stadium Darul Aman
tiap kali perlawanan berlangsung juga menjadi faktor yang dipertimbangkan
usahawan berusia 29 tahun itu dalam membuat keputusan akhir bagi memberi
penajaan.
Selain Kedah, dua lagi pasukan yang
berkemungkinan bakal menerima 'durian runtuh' hasil penajaan D'Herbs adalah
Pahang dan FELDA United memandangkan kedua-dua pasukan ini berkait rapat dengan
dirinya iaitu negeri dan tempat kelahirannya.
0 Response to "Takut Nak Taja Kedah"
Post a Comment