
Seorang pelajar tingkatan dua yang sebelum ini
menyuarakan keengganannya ke sekolah pada sesi petang kerana adik-beradiknya
yang lain bersekolah pagi, ditemui mati tergantung di tingkap bilik di rumahnya
di Desa Pujut, di sini, semalam.
Alexander Ajang, 14, yang juga anak kedua
daripada empat beradik itu ditemui tergantung dengan leher dijerut tuala dan
baju yang diikat pada jeriji tingkap oleh bapanya, jam 12 tengah hari.
Ibu saudara mangsa, Roselind, 32, berkata,
kematian mangsa amat mengejutkan kerana sejam sebelum kejadian, dia bersikap
seperti biasa ketika membuka pintu rumah untuk bapanya berusia 40-an yang pulang
untuk menghantarnya ke sekolah.
“Sebaik bapanya yang juga abang saya tiba di
rumah, dia berehat di rumah tamu dan menyuruh anaknya itu mandi serta memakai
seragam untuk ke sekolah.
“Tapi, selepas setengah jam dia masih tidak
keluar dari bilik biarpun ayahnya memanggil namanya beberapa kali. Sebaik pintu
bilik dibuka, ayahnya terkejut melihat dia tergantung di tingkap bilik dan sudah
tidak bernyawa,” katanya ketika ditemui, semalam.
Menurut wanita itu, sehari sebelum kejadian,
mangsa memberitahu tidak mahu ke sekolah kerana abang serta adik-beradiknya yang
lain bersekolah sesi pagi dan hanya dia pada sesi petang.
“Bagaimanapun, semua ahli keluarga lain tidak
mengendahkan kata-katanya kerana menganggap itu perkara biasa saja. Kami tidak
menyangka dia akan mengambil tindakan drastik seperti ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri, Asisten
Komisioner Mun Kock Keong ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan
memaklumkan mayat mangsa dibawa ke Hospital Miri untuk bedah siasat.
0 Response to "SUMPAHAN Kelas Petang, Pelajar 14 Tahun Mati Mengejut Tergantung Di Tingkap"
Post a Comment